Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara telah menganjurkan Mesyuarat Komuniti Syariah Tahun 2024 di Hotel Concorde Shah Alam, Selangor. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 85 orang ahli mesyuarat yang terdiri daripada Penasihat Undang-Undang Negeri-Negeri, Ketua Hakim Syarie Negeri-Negeri, Ketua Pendakwa Syarie Negeri-Negeri, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Negeri-Negeri dan pegawai-pegawai kanan bagi agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak. YBhg. Dato’ Suzana binti Atan, Peguam Cara Negara, Jabatan Peguam Negara telah mempengerusikan Mesyuarat pada 27 Ogos 2024. Manakala YBhg.Dato’ Anas bin Ahmad Zakie, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara telah mempengerusikan Mesyuarat pada 26 Ogos 2024. Mesyuarat Komuniti Syariah pada kali ini telah membincangkan cadangan pindaan kepada beberapa perundangan yang melibatkan kesalahan jenayah Syariah, tatacara jenayah Syariah dan keterangan Mahkamah Syariah. Mesyuarat ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai matlamat serta objektif penganjuran.