TYT Ambassador Ikram Bin Mohammad Ibrahim, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-33 Konvensyen Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah (CCPCJ-33) di Vienna, Austria. Jabatan Peguam Negara telah diwakili oleh YBrs. Puan Sharifah binti Razali, Peguam Persekutuan dan YBrs. Encik Syamir bin Salim Saw, Peguam Persekutuan, dari Unit Perkara Jenayah Antarabangsa, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa. CCPCJ merupakan suatu forum yang ditubuhkan menerusi resolusi Perhimpunan Agung PBB bagi membuat keputusan dasar berhubung pencegahan jenayah dan keadilan jenayah bagi PBB. Mesyuarat CCPCJ-33 kali ini menerima lima (5) resolusi baharu yang antara lain melibatkan anti pemerdagangan orang dan layanan ke atas kanak-kanak yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.