Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara telah menganjurkan Bengkel Penggubalan Undang-Undang 2024 ("Bengkel") bertempat di Hotel Le Meridien pada 24 - 27 September 2024. Objektif Bengkel ini adalah untuk memastikan peserta dapat memahami proses penggubalan undang-undang secara mendalam, mempelajari teknik dan amalan terbaik dalam proses penggubalan undang-undang dan bagi membolehkan interaksi dua hala antara Bahagian Gubalan dan peserta bagi meningkatkan kemahiran penggubalan undang-undang dalam kalangan para peserta. YBhg. Datuk Rozita binti Ramli, Penggubal Undang-Undang Parlimen telah hadir dan memberikan ucapan pembukaan serta menyampaikan hasrat Bahagian Gubalan melalui penganjuran Bengkel ini. Dato' Umar Saifuddin bin Jaafar, Peguam Cara Negara II telah hadir memberikan amanat dan menyampaikan hasrat serta harapan Jabatan Peguam Negara seterusnya menyempurnakan majlis perasmian Bengkel ini. Turut hadir dan bersama-sama sepanjang Bengkel ini berlangsung adalah YBhg. Datuk Rozita binti Ramli, Penggubal Undang-Undang Parlimen, semua Timbalan Penggubal Undang-Undang Parlimen, Ketua-Ketua Unit, bersama-sama Urus Setia Bengkel ini, daripada Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara. Sijil penyertaan dan cenderahati telah diserahkan kepada para peserta selepas Bengkel berakhir.