Lebih 200 pelajar tahun akhir Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam, hadir pada hari ini bagi memeriahkan Program Green Harvest @AGC UiTM 2025. Lebih manis lagi, sesi perkongsian pengalaman Pegawai Undang-Undang kali ini disampaikan oleh alumni merangkap Profesor Adjung Fakulti Undang-Undang UiTM, YBhg. Dato' Masri bin Mohd Daud, Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC). Beliau hadir untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang menabur bakti dalam bidang perundangan negara pada sesi kedua program tersebut. Para pelajar dibawa menelusuri pengalaman dan cabaran sebenar ketika berada di lapangan. Selain isu cabaran dan harapan dari masyarakat umumnya, YBhg. Dato' Masri juga menyatakan pentingnya semangat yang utuh dan tidak mudah mengalah untuk menjadi seorang Timbalan Pendakwa Raya. Sebelum itu, pada sesi pertama para pelajar telah diberikan input dan penerangan mengenai peranan dan fungsi AGC, seterusnya laluan kerjaya yang boleh diceburi dalam AGC. Sesi ini telah disampaikan oleh Peguam Kanan Persekutuan berpegalaman, YBrs. Tuan Firdaus Zariza bin Abdul Aziz. Banyak input dikongsikan kepada para pelajar berkaitan kepelbagaian tugas dan bahagian di AGC. Program turut dimeriahkan dengan pameran dan kuiz kenegaraan serta rakaman video perutusan khas Peguam Negara, YBhg Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar. Dalam perutusan tersebut, YBhg. Tan Sri Peguam Negara memberikan amanat dan harapan peribadi beliau terhadap para pelajar yang merupakan aset dan pelapis kepada bidang perundangan negara. Beliau menekanan kepentingan integriti dalam membina keadilan yang berkesan dalam mendepani cabaran perundangan yang kian kompleks. Kerjasama antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) amat penting sebagai platform dalam mencari pelapis baharu bagi meneruskan legasi tonggak perundangan negara. Objektif ini sememangnya menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Program Green Harvest @AGC 2025 yang dikelolakan oleh Unit Komunikasi Strategik (UKS) Jabatan Peguam Negara. Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat, Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Turut hadir, barisan pengurusan tertinggi dan tenaga pengajar Fakulti Undang-Undang UiTM, serta Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara.