Putrajaya, 27 September 2024 – Jabatan Peguam Negara melalui Seksyen Pentadbiran, Aset dan Kualiti, Bahagian Pengurusan telah mengadakan Bengkel Pengurusan Aset dan Stor Kerajaan, Jabatan Peguam Negara Tahun 2024 kepada Pegawai Unit Pengurusan Aset dan Stor, Pegawai Aset, Pembantu Pegawai Aset, Pegawai Stor yang telah dilantik di setiap Bahagian atau PTJ Negeri. Kursus ini dilaksanakan bermula pada 25 hingga 26 September 2024 bertempat di Dewan Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Aras 3, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Objektif utama kursus ini adalah meningkatkan kemahiran dan kefahaman tentang dasar dan peraturan kerajaan mengenai pengurusan aset alih dan stor kerajaan, melatih pegawai sebagai trainers serta resource person yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan aset alih dan stor di jabatan dan mempelajari amalan terbaik dalam pengurusan aset alih dan stor kerajaan. Bengkel ini telah dihadiri seramai 64 orang peserta daripada AGC Ibu pejabat/PPUUN/AGC Cawangan. Seramai empat (4) orang penceramah dan fasilitator telah diundang khas dari Seksyen Pengurusan Aset, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri bagi menjayakan kursus ini iaitu Encik Asyraf Bin Nadar @ Nadarrudin, Puan Norafzaniza Binti Bahadon (taklimat berkaitan Pengurusan Aset Kerajaan), Puan Norazlifah Binti Jaafar dan Encik Mohd Ashaari Bin Ibrahim (taklimat berkaitan Pengurusan Stor Kerajaan). Majlis penutupan bengkel ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Azizi Bin Wahab, Pengarah Bahagian Pengurusan, Jabatan Peguam Negara. Semoga bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya iaitu dapat memastikan setiap Pegawai Aset, Pembantu Pegawai Aset dan Pegawai Stor dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan dasar dan peraturan yang berkuatkuasa serta memastikan setiap aset kerajaan dijaga diselenggara dengan baik dan teratur.