YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara berkesempatan untuk hadir dan memberikan ucapan dasar sempena pembukaan KL ADR Week 2025 bertempat di Asian International Arbitration Centre (AIAC) hari ini. Dalam ucapan dasar tersebut, beliau menekankan ASEAN sebagai satu entiti yang mempunyai kepelbagaian tradisi perundangan, yakni merupakan salah satu kekuatan kepada ASEAN itu sendiri. Namun begitu kekuatan dan kepelbagaian ini juga merupakan salah satu cabaran besar dari aspek keserasian, konsistensi dan pengiktirafan bersama dalam proses penyelesaian pertikaian yang timbul. Oleh yang demikian, penyelesaian pertikaian kini tidak hanya memadai sekadar cekap dan berkecuali , ia juga mesti hadir dengan tanggungjawab. YBhg. Tan Sri Peguam Negara juga turut mengalu-alukan kehadiran para peserta, antaranya dari kalangan negara-negara ASEAN, China, India, Pakistan, Negara Timur Tengah, Asia Tengah, United Kingdom dan Eropah . Beliau merakamkan harapan dan komitmen bersama dalam mengukuhkan penyelesaian pertikaian alternatif, yang bukan sahaja melibatkan sistem perundangan masing-masing, tetapi merentasi sempadan dan komuniti. Turut hadir YBhg. Tun Zaki bin Tun Azmi, Presiden KL ADR Week 2025 dan ESG ADR Forum, yang juga mantan Ketua Hakim Negara.